Khamis, 26 Ogos 2010

Terengganu bebas miskin tegar menjelang 2012

Pendapatan golongan terima kurang RM200 sebulan dipertingkat

KUALA TERENGGANU: Terengganu dijangka bebas sepenuhnya daripada masalah kemiskinan terutama miskin tegar menjelang 2012, sekali gus mengubah landskap ekonomi golongan itu yang sebelum ini hidup dengan pendapatan kurang RM200 sebulan.
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said, berkata sasaran mengurangkan kadar kemiskinan kepada 2.8 peratus menjelang akhir tahun ini boleh dicapai, kerana ketika ini hanya 496 keluarga dikategorikan miskin tegar manakala 564 miskin.
"Ketika negara mencapai kemerdekaan, Terengganu adalah antara negeri paling tinggi kadar kemiskinan di kalangan rakyatnya iaitu hampir 90 peratus.

"Tetapi, hari ini suasana itu sudah berubah apabila hanya ada 1,060 isi rumah golongan miskin yang berpendapatan kurang daripada RM350 sebulan,"
katanya pada majlis berbuka puasa dan meraikan 60 peserta Program Peningkatan Pendapatan - Rancangan Malaysia Kesembilan (RMKe-9) bagi Parlimen Kuala Terengganu, Kuala Nerus dan Marang yang mendapat bantuan Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) di sini kelmarin.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita negeri, Yahya Khatib Muhamad; Setiausaha Kerajaan negeri (SUK), Datuk Mazlan Ngah; Pegawai Kewangan negeri, Datuk Razak Ismail dan Pengarah YPKT, Mohd Shafaruddin Mustaffa.
Ahmad berkata, peruntukkan sebanyak RM30 juta disalurkan kepada YPKT untuk melaksanakan program membantu golongan miskin menerusi projek perniagaan kecil-kecilan bagi meningkatkan sumber pendapatan golongan sasaran bagi tempoh RMKe-9.

"Menerusi program fasa keempat tahun ini, YPKT diberi peruntukan sebanyak RM5 juta bagi melaksanakan Program Peningkatan Pendapatan dan sehingga kini seramai 536 rakyat miskin yang tersenarai dalam data e-Kasih sudah diberi bantuan modal awal perniagaan dan kebanyakan mereka berjaya meningkatkan pendapatan menerusi projek perniagaan masing-masing.

"Kita percaya menerusi peningkatan pendapatan golongan itu yang mewakili isi keluarga masing-masing menerusi Program Peningkatan Pendapatan yang laksanakan oleh YPKT, sasaran merekodkan kemiskinan sifar di negeri ini menjelang 2012 akan tercapai," katanya.

Azman Mahmood - bharian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan