pelancongan Terengganu

Jejak eko-akua di Merchang
Oleh Abdul Halim Yusoff dan Nazdy Harun
bhkt@bharian.com.my
2010/06/26

sebelum  -  selepas
<strong>KEHENINGAN Sungai Merchang yang kaya dengan sumber 
rezeki bagi nelayan tempatan.</strong> <strong></strong>

KEHENINGAN Sungai Merchang yang kaya dengan sumber rezeki bagi nelayan tempatan.
Peluang selami kehidupan nelayan sambil buai rasa dengan keindahan alam

KETIKA meninggalkan Kampung Serating, Merchang yang terletak di daerah Marang, Terengganu, terdetik hasrat merahsiakan pengalaman indah di desa permai ini. Bukan apa, sayang rasanya jika keindahan dan kedamaian desa ini terjejas suatu hari nanti jika dikomersialkan lalu memberi kesan kepada potensi pelancongan eko-akua di perkampungan ini.
Merchang belum dikenali sebagai destinasi pelancongan pilihan. Mereka yang mahukan resort mewah dan sukan laut, destinasi ini bukanlah tempatnya. Namun, bagi yang mengerti, Merchang bagaikan permata yang belum digilap dan menjadi syurga bagi mereka yang mahu menghayati rahsia manusia dan alam menyatu demi kepentingan bersama. Mudik Sungai Merchang yang menjadi lubuk nelayan mencari sumber rezeki, kehadiran tiram yang membiak dalam persekitaran itu menambah punca pendapatan. Ramai tidak tahu, inilah kawasan yang mengeluarkan tiram gred A yang banyak dipasarkan ke restoran mewah di seluruh negara.

Selain mengutip tiram yang hidup pada selon, tayar, tempurung dan paip gentian kaca yang digantung dalam sungai itu, nelayan juga mengusahakan ternakan ikan dalam sangkar terutama dari spesies siakap dan kerapu.

Dengan kerjasama persatuan nelayan di Sungai Merchang, kami menjejaki lokasi unik ini. Ikuti catatan menarik di Sungai Merchang terutama pengalaman bermalam di rumah jeti sambil menemani nelayan yang bergilir-gilir mengawasi sangkar ikan siakap, kerapu dan tiram. Apa yang dibimbangkan, pencuri lazimnya menyamar sebagai pemancing dan merosakkan sangkar untuk meraih kerapu dan siakap segera.

Rabu
9 pagi : Selepas perjalanan kira-kira sejam dari Kuala Terengganu, ketibaan kami di Kampung Serating, Merchang disambut Pengerusi Komuniti Pengurusan Sumber Perikanan (KPSP), Merchang, Awang Omar, yang lebih mesra dipanggil Pok We bersama beberapa ahli jawatankuasanya.

Selepas sesi perkenalan, kami dibawa ke sebuah kedai restoran kayu yang mengingatkan kita dengan kisah zaman sebelum perang, tetapi kemeriahan warga di dalamnya, kebersihan serta keenakan hidangan yang disediakan membuatkan kita berasa seperti 'santap' dalam sebuah bilik khas di restoran hotel lima bintang.

10 pagi : Selepas menikmati hidangan pagi wajib yang menjadi juadah rasmi Terengganu, nasi dagang, pengembaraan kami bermula. Pak We membawa kami ke bot gentian kaca yang digunakan untuk menyusuri sungai bagi mendekati kehidupan anak buahnya mencari rezeki.

Sebaik sampai ke bot, kami diingatkan untuk menjalankan pemeriksaan rutin merangkumi keadaan badan bot, enjin dan jaket keselamatan. Selepas berpuas hati semua berada dalam keadaan memuaskan, enjin bot dihidupkan. Perjalanan kami menyusuri muara bermula, diiring suasana yang sungguh indah tatkala matahari yang setinggi galah membiaskan riak berkaca deretan pokok kelapa di tebing sungai.

11 pagi : Keramahan Pok We bercerita membuatkan kami tidak sedar tiba di destinasi pertama, iaitu kawasan pembiakan tiram. Tiram kelas A dan B yang diusahakan 23 keluarga membiak di sini kerana kedalaman air dua meter yang bersih dan tidak tercemar.

Pok We kemudian memperkenalkan kami dengan beberapa nelayan termasuk Nor Hisyam Mat Zin, 37, yang sudah terbabit dalam kegiatan pembiakan tiram sejak enam tahun lalu.

Tiram di sini bukannya diternak seperti yang kita fikirkan, sebaliknya pengusaha hanya perlu menjaga dan menyediakan tempat supaya benih tiram hidup pada uncang yang disediakan.

Tiram yang dipungut bersaiz kira-kira 12 sentimeter mendapat permintaan baik daripada pengusaha restoran manakala tiram benih yang bersaiz agak kecil kira-kira lima sentimeter dijual kepada pengusaha lain di Pantai Barat untuk diternak semula hingga mencecah saiz yang diingini. Tiram yang dikutip setiap enam bulan sekali membolehkan pengusaha meraih pendapatan hingga RM5,000 semusim.

Pok We yang menjadi perantara dan kadang-kadang sebagai 'penterjemah' menjelaskan antara masalah pengusaha tiram adalah musim tengkujuh yang mengubah paras kemasinan air dan menjejaskan tumbesaran tiram.

12 tengahari : Tidak cukup dengan sekadar melihat, kami yang sudah mula merasai terik matahari bergerak menemui seorang lagi pengusaha dan Liza Abdul Rahman, 25, yang meneruskan kegiatan yang diusahakan ibu bapanya, mencuba sendiri menaikkan uncang dan menggredkan tiram.

Selepas menaikkan uncang yang dibuat daripada paip gentian kaca, tempurung dan tayar terpakai, kami ditunjukkan pula cara menggredkan tiram mengikut saiz dan meletakkannya dalam bekas berbeza. Liza memberitahu, dia masih belum mencapai sasaran 10,000 tiram yang ditempah pelanggan pada musim ini.

1 petang : Ketika bahang matahari semakin terasa dan kulit muka dan lengan sudah semakin legam, kami dibawa Pok We untuk menikmati hidangan tengahari di sebuah warung tidak jauh dari jeti. Hidangan asam pedas pari segar benar-benar terasa seperti ganjaran atas perit jerih kami di sungai.

3 petang : Selepas solat zohor di sebuah surau, kami bergerak ke rumah jeti yang terletak kira-kira dua kilometer dari sini. Kami berkenalan pula dengan Nawi Muda, 53, yang menjadikan tempat itu sebagai rumah keduanya selepas tidak lagi turun ke laut akibat masalah penglihatan sejak setahun lalu. Di situlah Nawi bersama rakan-rakan lain melepaskan rindu pada suasana laut.

Suasana memang damai dan tenang di rumah jeti dan tidak lama selepas bersandar, kami terlelap.

6 petang : Sekali lagi kami menyusuri sungai untuk menikmati keindahan suasana petang sambil melihat kegiatan pemancing yang mula turun mencuba nasib.

Apabila senja menjelang tiba, kami pulang ke rumah jeti dan membersihkan diri.

8 malam : Pok We membawa nasi bungkus dan kami menikmati hidangan malam di rumah jeti bertemankan lampu pelita. Ketika berbual-bual selepas menikmati hidangan, Nawi dalam nada sugul memberitahu beliau rugi besar selepas berpuluh-puluh sangkar ikan siakap rosak akibat bah pada akhir tahun lalu. Lalu, beliau menyuruh kami mengambil kesempatan menebarkan pancing dari jeti kerana banyak ikannya terlepas ke sungai itu.

Selepas sejam menyertai kalangan pemancing lain, keletihan semakin terasa dan kami lebih banyak menguap daripada menumpukan kepada joran. Akhirnya kami naik ke pangkin atas rumah jeti - umpama loteng di rumah biasa dan pantas terlelap diulit bayu laut. Esok kami akan lihat pula kegiatan penternakan ikan sangkar di kawasan hilir sungai itu.

Khamis

8 pagi : Kedinginan pagi membuatkan kami terjaga awal dan badan terasa sangat segar selepas melakukan senaman di pangkin jeti sambil melihat sinar mentari pagi di sebalik pokok kelapa di beting pasir. Selepas bersarapan di rumah Pok We, kami teruja dan bersedia untuk meneruskan aktiviti hari itu. Tanpa disedari, kami sudah berada dalam bot lengkap bertopi dan memakai baju lengan panjang.

9 pagi : Dari rumah jeti kami memulakan perjalanan menghilir Sungai Merchang ke kawasan yang lebih dalam di kawasan pengusaha penternakan ikan dalam sangkar. Selepas setengah jam, kami terlihat deretan petak sangkar yang menempatkan ikan siakap dan kerapu. Tidak jauh dari situ, di tepi tebing kami melihat rumah pengusaha ternakan ikan terbabit.

Dengan harga antara RM12 hingga 25 sekilogram, penternakan ikan dilihat membantu nelayan di kawasan ini meningkatkan taraf ekonomi keluarga selain memanfaatkan sepenuhnya anugerah Allah SWT kepada hambaNya.

Melintasi beberapa kawasan penternakan, kami tiba di kawasan milik keluarga Mohammad Sabri Alias, 26, yang mengusahakan lapan sangkar yang boleh memuatkan lebih 5,000 ikan siakap dan kerapu.

Selepas beberapa jam menghabiskan masa di sangkar ini termasuk memberi ikan makan, memeriksa jaring sangkar dan menangkap ikan untuk jualan, kami bersedia untuk pulang dan istimewanya, kami menerima buah tangan berupa empat ekor kerapu yang diberikan Mohammad Sabri.

12 tengahari : Apabila bahang mentari semakin membara, Pok We mengajak kami turun dari kawasan sangkar yang diapungkan dengan gabungan tong plastik itu, untuk kembali ke rumahnya dan menikmati hidangan tengahari. Dalam perjalanan itu, Pok We yang seperti sudah kebal daripada panahan mentari terus bercerita mengenai kegiatan anak buahnya.

Menurut Pok We, dengan melakukan pelbagai kegiatan, nelayan di perkampungan itu menikmati pendapatan tambahan dan tidak perlu hanya tertumpu kepada kegiatan menangkap ikan di laut yang sering terjejas ketika musim tengkujuh.

Namun, Pok We agak kecewa dengan sikap sesetengah pengusaha luar yang meninggalkan terlalu banyak tayar yang dijadikan uncang tiram hingga dasar sungai menjadi cetek.

3 petang : Selepas menikmati hidangan tengahari dan berehat di rumahnya, Pok We membawa kami ke jeti laut Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM). Di jeti ini, hasil tangkapan mereka direkodkan untuk melayakkan mereka menerima insentif tangkapan 10 sen setiap kilogram.

5 petang : Sambil minum petang di kedai kayu klasik yang mengingatkan kita pada kisah sebelum perang, Pok We bercerita lagi bahawa KPSP diiktiraf sebagai kesatuan paling aktif di Terengganu. Antara cabang rezeki terbaru yang berpotensi dibangunkan termasuklah pelancongan berasaskan eko-akua. Pok We mengakui pelbagai agensi kerajaan sudah menghulurkan bantuan terutama menyediakan prasarana termasuk rumah jeti yang menjadi tempat penginapan kami.

6 petang : Tiba masa untuk berangkat. Kami bersalaman dengan semua ahli jawatankuasa KPSP Merchang dan Pok We yang tampak kurang ceria namun tetap cuba menyembunyikan perasaannya. Pok We mengajak kami datang lagi menikmati aktiviti sebenar di laut pula. Kami pasti datang lagi kerana kenangan indah menghayati alam maya di sungai dan Kuala Merchang pasti tidak dapat dilupakan.