Khamis, 24 Jun 2010

Timur: Kolam air panas terbiar

2010/06/24

Sikap pengunjung abai kebersihan jejas kawasan riadah

HULU BESUT: Kolam air panas di Kampung La, di sini, memang tersohor sebagai destinasi riadah terutama pada hujung minggu untuk merasai kenikmatan air hangat yang dikatakan boleh mengubat penyakit kulit, tetapi keadaan persekitaran kolam yang terbiar, kotor dan berselerak menyebabkan pengunjung ‘sakit mata’.

Kolam air panas La Hot Spring dibuka kepada pengunjung pada 1992 dan untuk memudahkan pengunjung menikmati air hangat yang kaya dengan belerang dan mencecah suhu lebih 49 darjah celsius itu.
Tiga kolam sampingan yang dibina Majlis Daerah Besut (MDB) dapat mengelakkan orang ramai bersesak dalam kolam utama yang hanya seluas empat meter persegi, sekali gus memberi peluang kepada lebih ramai pengunjung untuk berendam dan merasai kenikmatan air hangat di kawasan itu.
Bagaimanapun, masalah timbul apabila saluran paip itu rosak sejak lebih lima tahun lalu menyebabkan kolam sampingan yang dibina tidak dapat berfungsi.

Tinjauan Edisi Timur ke kawasan itu kelmarin, turut mendapati beberapa kemudahan lain di kawasan itu termasuk penutup longkang sudah tertanggal dan berbahaya kepada pengunjung.

Selain itu, kolam kecil yang dibahagikan kepada dua bahagian iaitu untuk lelaki dan perempuan dipenuhi dengan sampah-sarap termasuk daun kayu.

Mengulas mengenai isu itu, Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Hulu Besut, Nawi Mohamad, berkata pusat pelancongan berasaskan air hangat yang menjadi spa rakyat itu tercemar disebabkan sikap rakus pengunjung yang tidak menjaga kebersihan.
“Selain sikap tidak bertanggungjawab sesetengah pengunjung, kerosakan paip membawa air panas ke kolam kecil yang disediakan sejak lima tahun lalu memburukkan lagi keadaan pencemaran di kawasan itu.

“MDB sudah memohon bantuan kewangan daripada Kementerian Pelancongan untuk pembaikan saluran paip berkenaan, tetapi ditolak dengan alasan tiada peruntukan baru akan dikeluarkan selagi projek pembinaan chalet membabitkan peruntukan lebih RM5 juta yang sudah diluluskan sebelum ini tidak disiapkan,” katanya.

Nawi berkata, alasan diberikan itu tidak masuk akal kerana kontraktor yang dipilih untuk melaksanakan projek pembinaan chalet berhampiran kawasan kolam air panas dipilih sendiri oleh Kementerian Pelancongan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan