Lebih seratus penduduk berkumpul menggesa campurtangan pelbagai pihak di Balai Polis Chendering
2010/06/02
KUALA TERENGGANU: Sekumpulan nelayan dan penduduk di Mukim Chendering, di sini berkumpul di hadapan Balai Polis Chendering, semalam meminta campur tangan pihak berkuasa untuk mengekang pergerakan nelayan asing dari Vietnam dan Thailand daripada bergerak bebas di daerah ini.Jurucakap kumpulan yang disertai lebih 100 penduduk itu, Sulaiman Salleh, berkata pihaknya turut membuat laporan polis terhadap pemilik bot laut tempatan yang didapati tidak mengawal pergerakan nelayan warga asing yang digaji mereka hingga bebas keluar masuk ke kawasan kampung, dan dipercayai menjadi punca kehilangan barangan, ternakan serta mengancam keselamatan penduduk.
Sulaiman berkata, penduduk kampung kini dalam ketakutan apabila nelayan asing itu semakin berani masuk ke kampung dengan mengganggu anak-anak gadis dan mencuri binatang peliharaan terutama ayam dan kambing.
"Mereka (warga asing) siang malam keluar masuk ke kampung ini (dengan bebas), macam perkampungan mereka sendiri apabila begitu bebas sehinggakan pengunjung takut untuk datang berkelah di pantai ini berikutan kehadiran mereka," katanya yang berharap dengan laporan itu polis, Jabatan Perikanan serta Jabatan Imigresen akan bertindak bagi masalah yang tidak dihadapi sebelum ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan